Tuesday 31 December 2013

IMBASAN 2013 DIAMBANG 2014


Assalamualikum W.B.T. dan Salam Sejahtera,



1. Kini kita sudah berada di ambang 2014 dan dalam masa beberapa jam lagi kita akan meninggalkan tahun 2013. Yang tinggal hanyalah kenangan, baik yang pahit mahupun yang manis. 

2. Syukur kehadarat Allah S.W.T. kerana dipanjangkan umur kita sekalian sehingga ke tahun 2014. Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah S.W.T. jadikan tahun ini tahun yang terbaik buat kita semua. Insya' allah.

3. Kebiasaannya kita akan mengimbas kembali sedikit sebanyak apakah yang telah kita lalui dan lakukan dalam tempoh 365 hari yang lalu, baik sebagai manusia mahupun umat Islam. Pahit manis, susah senang, jatuh bangun, berjaya dan kecundang, sedih dan gembira sudah menjadi lumrah hidup yang harus kita tempuhi dengan penuh redha.

4. Sudah seharusnya kita menginsafi dan memohon keampunan daripada Allah S.W.T. atas segala dosa dan kesilapan yang lalu disamping mengucapkan kesyukuran di atas segala kebajikan yang telah kita nikmati. Ameen.

5. Alhamdulillah, tahun 2013 merupakan tahun yang lebih tenang bagi MokDah, tidaklah besar ataupun berat gelombang kehidupan yang ditempuhi. 

6. Disepanjang tahun, Allah S.W.T. telah mengurniakan kesihatan yang baik kepada MokDah sekeluarga termasuk cucu-cucu, kecuali pada bulan October lalu telah dimasukan ke hospital selama 6 hari kerana keracunan makanan. Selain daripada itu adalah sekali sekala demam, selesema dan batuk.

7. MokDah juga telah dikurniakan dengan keluarga yang sejahtera disamping suami, anak-anak, menantu, cucu dan adik beradik serta sanak saudara yang menyenangkan dan membahagiakan. Kenangan paling indah, ialah ketika MokDoh dapat menyambut hari raya bersama seluruh keluarga termasuk adik beradik dan anak saudara di sebuah perkampungan di Umbai, Melaka, negeri tanah tumpah darah ninda kami.

8. Dari segi pekerjaan, alhamdulilah MokDah telah dikurniakan pekerjaan yang amat menyenangkan berkhidmat dengan dua tokoh yang tinggi peribadinya di dalam syarikat nasional yang kukuh dan stabil. Disamping itu MokDah rasa amat bertuah kerana mempunyai rakan pasukan kerja (team mate) yang dedikasi, komited dan setia serta tinggi semangat setia kawannya. Mereka adalah bagaikan keluarga kedua MokDah. Terima Kasih dan MokDah sayang semuanya.

9. Masih banyak yang kurang dan perlu diperbaiki untuk menjadi insan dan umat yang soleh. Semoga kita semua akan terus diberkati Allah S.W.T. pada tahun baru ini -   dipanjangkan umur, sihat tubuh badan, murah rezeki dan sejahtera selalu. Insya' Allah. @ 31.12.2014










No comments:

Post a Comment