Tuesday, 12 August 2014

WANITA TOPIK HANGAT SEPANJANG ZAMAN


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatu.

Dari dulu hinggalah sekarang, Wanita masih merupakan topik utama yang sentiasa hangat diperkatakan dari zaman berzaman.

Itulah juga diantara sebab yang telah mendorong Kumpulan Akhbar Utusan Melayu menerbitkan majalah Wanita terulung dalam bahasa Melayu pada tahun 1969, yang kemudian "bertahta dihati" gender yang bergelar wanita.

Mokdah adalah diantara segelintir wartawan wanita yang bertugas di Utusan Melayu ketika itu, yang telah turut menyumbang rencana-rencana yang berkaitan dengan wanita, kehidupannya dan keluarganya. Pada tahun 1980 sehingga 1983 Mokdah telah diberi kepercayaan untuk menjadi Pengrang Majalah Wanita yang kedua selepas Puan Nik Rahimah Hassan.

Pada zaman 60 dan 70 an, kebanyakan topik yang menjadi pilihan adalah bertujuan untuk membuka minda kaum wanita, serta untuk menyuntik semangat dan menjadi sumber inspirasi wanita untuk terus maju. Sasaran utama majalah wanita merangkumi anak gadis remaja dan kaum wanita tidak kira yang solo, sudah berumahtangga termasuk yang berkerjaya.

Mesej yang cuba disampaikan kepada kaum wanita ketika itu, untuk maju wanita harus meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran disamping mendapatkan pendidikan hingga ke menara gading.  Soal hak wanita dan juga diskriminasi terhadap wanita dalam kerjaya dan  kenaikan pangkat serta dalam kepimpinan politik turut diperjuangkan melalui berbagai rencana yang dipaparkan. 

Penceritaan yang dipaparkan berkisar kepada kegigihan, pengorbanan, sumbangan, kejayaan, kerjaya, keusahawanan, usaha, ketabahan, kepimpinan, ketokohan dan keupayaan wanita yang boleh dijadikan idola, contoh tauladan dan panduan.

Kisah wanita dari kampung hinggalah ke bandar, dari sekolah pondok hingga ke menara gading, dari dapur ke gedung perniagaan, dari rumah ke berbagai kerjaya serta keusahawanan menjadi bahan tulisan untuk dikongsi bersama dengan pembaca.

Ketika itu, wanita-wanita yang menjadi hiasan kulit muka depan majalah Wanita, bukan semata-mata dipilih daripada mereka yang jelita dan peragawati tetapi lebih kepada wanita yang mempunyai ceritanya yang tersendiri dan dapat menarik minat pembaca untuk membacanya.

Diantara wanita yang pernah dipaparkan ceritanya termasuk turut menghiasi kulit muka depan majalah wanita adalah DYMM Raja Permaisuri Agung, Sultanah dan Raja Perempuan, isteri pemimpin negara seperti isteri Perdana Menteri, tokoh-tokoh dan pemimpin politik seperti Tan Sri Rafidah Aziz,  peguam, juruterbang, doktor, seniwati, usahawan, ahli sukan, dan ramai lagi.

Kisah-kisah menarik mengenai wanita yang dipaparkan tidak hanya tertumpu kepada wanita di bandar, malah kisah kejayaan wanita di luar bandar juga turut dipaparkan seperti kejayaan wanita-wanita di pantai timur dalam dunia perniagaan termsuk berniaga di pasar, mengusahakan batik, songket dan ikan keringnya.

Selain rencana-rencana yang berkisar kepada wanita dan aktivitinya,  turut disediakan berbagai halaman yang menjadi minat semula jadi wanita seperti fesyen, masakan, hiasan rumah dan kesihatan.

Majalah Wanita telah melalui berbagai perubahan  menurut aliran perkembangan dunia baik dari segi rekabentuknya mahupun isi kadungannya bagi memenui citarasa para pembacanya yang menjadi lebih sofistikated. Pada awal tahun 70an terutamanya bahan bacaan dalam bahasa Melayu yang khusus untuk wanita tidak banyak dan kerana itu ia mudah dapat mendampingi wanita-wanita Melayu khasnya. Kini majalah Wanita mempunyai banyak pesaing dan pembaca mempunyai banyak pilihan apabila disajikan dengan  berbagai penerbitan termasuk juga melalui internet yang terkenal dengan "e-book".

Dalam masa 45 tahun ini juga Wanita telah diterajui oleh seramai 9 orang pengarang bermula dengan Nik Rahimah Hassan, Mokdah, Rosminah Ahmad,  Maimunah Yusuf, Wirda Adnan, Normala Hamzah, Noor Hazani Musa, Mahani Awang, Norimy Aimi dan kembali semula kepada Normala Hamzah. @12.08.2014











 

 



No comments:

Post a Comment