Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
TUA! tidak ada siapapun dapat elak dari menjadi tua apabila tiba masanya nanti.
Belum ada penemuan sains yang benar-benar dapat menahan seseorang dari menjadi tua. Mungkin ada kaedah yang ditemui untuk melambatkan proses menjadi tua, tetapi bukan menghentikan proses penuaan..
Inilah hakikat perjalanan hidup yang telah diatur oleh Allah SWT yang pasti datang, begitu juga dengan kematian. Tidak siapa dapat mengelak daripadanya. Awal kehidupan kita dilahirkan dan dari bayi kita membesar memasuki alam kanak-kanak, kemudian meningkat remaja dan seterus menjadi dewasa dan akhirnya menjadi tua.
Rata-rata masa kita muda, apakah kita pernah terfikir apa jadinya pada kita apabila kita dimamah usia nanti. Kebiasaannya sebelum tiba masanya. ramai yang lupa ataupun tidak terfikir apabila kita tua nanti segala-galanya berubah. Bukan sahaja dari bentuk fisikal malah paling penting ialah kesihatan dimana kita tidak lagi mempunyai kudrat atau kekuatan mental dan begitu juga dengan cara hidup.
Kebiasaannya kita membuat persiapan untuk kehidupan masa depan untuk membina kerjaya, tidak kurang yang mengumpul harta benda. Apakah kita juga berusaha untuk membuat persiapan yang sebaik mungkin untuk menghadapi hari tua?
Inilah yang menjadi kesilapan ramai orang, bila tidak ada persiapan atau perancangan akhirnya ada yang terpaksa hidup melarat dan tidak kurang pula ditempatkan dirumah orang tua-tua.
Sekiranya anak-anak didik untuk menjadi insan yang bertanggungjawab, In Sha Allah dia tidak akan merasa terbeban apabila terpaksa menjaga ibu bapa atau saudara mara yang telah tua. Kita harus sedar, seperti kita masa muda-muda dulu, mereka juga sibuk dan bergelut seharian dengan tanggungjawab untuk meneruskan kehidupan keluarga masing-masing. Kita tidak boleh terlalu bergantung pada anak-anak, kalau boleh berdikari itulah yang sebaiknya.
Persiapan menghadapi hari tua itu penting bagi orang tua-tua atau sekarang dipanggil warga emas. Diantara perkara yang harus diambil kira adalah:
1) Kesihatan - jauh dari sebarang penyakit dan juga dari segi fizikal, supaya kita dapat menguruskan diri sendiri tanpa memerlukan bantuan orang lain.
2) Sumber kewangan berterusan untuk menyara kehiduapn seharian - sama ada dari simpanan ataupun tanaman modal, mahupun wang sara hidup yang disalaurkan oleh agensi kerajaan yang disediakan untuk warga emas yang tidak berkemampuan. Dengan itu tidaklah kita membebankan anak-anak, saudara mara atau orang lain.
3) Tempat tinggal yang selesa dan mudah untuk pergerakan, baik rumah sendiri, rumah anak-anak ataupun rumah orang penjagaan orang tua-tua yang berbayar ataupun yang diusahakan oleh agensi kerajaan dan NGO.
4) Kegiatan atau aktiviti harian yang sesuai baik untuk mental mahupun fizikal. Seperti orang lain, warga emas juga memerlukan rakan-rakan untuk berbual disamping aktiviti yang tidak membebankan. Kerana itulah masjid dan surau sering dipenuhi oleh warga emas, selain beribadah inilah juga tempat dimana mereka dapat meluaskan kenalan dan memanjangkan silatulrahim.
Cucu juga adalah merupakan penghibur dan "teman" berbual bagi seorang nenek dan datuk, selain daripada kawan-kawan sebaya untuk bersembang. Selain dairpada itu mereka yang berminat membaca buku, menulis ataupun membuat kerja-kerja yang tidak memerlukan banyak kudrat menurut kemahiran masing-masing merupakan satu kegiatan yang gemar dilakukan oleh warga emas. Melayari internet adalah merupakan satu kegiatan bagi ramai warga emas masa kini kerana disamping dapat mengekalkan minda supaya terus aktif mereka juga dapat meluaskan pengetahuan dengan berbagai bahan bacaan yang tiada sempadan.
Disamping itu, bagi wanita-wanita termasuk yang telah bersara mereka suka bergiat aktif dalam berbagai kegiatan terutama yang berasaskan agama dan kebajikan. Dengan ini mereka bukan sahaja mendapat kenalan yang ramai, malah mendapat peluang ke berbagai majlis.
Sememangnya penting, apabila kita tua, kita mempunyai banyak masa lapang, tetapi ramai yang tidak tahu apakah yang harus mereka lakukan. Dengan duduk keseorangan tanpa sebarang kegiatan ini boleh memudaratkan kesihatan dan boleh menyebabkan seseorang menjadi murung dan kesihatannya akan merosot dari sehari kesehari.
Anak-anak yang menjaga ibubapa yang telah tua hendaklah jangan membiarkan mereka terlalu lama bersendirian. Rancanglah untuk membawa mereka bersiar-siar, menziarah saudara mara dan sekali sekala bawa keluar makan mahupun bercuti.
Sementara itu disarankan agar pemaju perumahan dan Jawatan Kuasa Penduduk dapat bertindak untuk mengadakan satu pusat riyadah disamping mengaturkan berbagai aktiviti berkumpulan. Kalau kita lihat kebiasaannya ramai warga emas ini duduk di taman-taman untuk berbual sesama sendiri disamping memerhatikan kanak-kanak mahupun cucu sendiri bermain petang-petang.
Banyak yang boleh dilakukan seperti:
1) Kuliah-kuliah agama pada waktu dan hari tertentu.
2) Senaman harian atau mingguan di padang permainan yang dipandu secara profesional sesuai dengan fizikal dan kesihatan warga emas.
3) Pemeriksaan kesihatan berjadual.
3) Kumpulan mengaji Al-Quran (ulang kaji) dan berzanji untuk berbagai majlis penduduk setempat seperti kenduri kahwin, kesyukuran, tahlil , akikah dan sebagainya.
4) Aktiviti berjadual untuk menziarah penduduk yang sakit ataupun menghadapi malapetaka.
5)Aktiviti kebajikan yang tidak terlalu berat untuk disertai warga emas.
Segala aktiviti ini adalah untuk membantu warga emas untuk meneruskan kehidupan sebaik mungkin supaya tidak terlalu membebankan anak-anak dan orang lain. Lebih banyak warga emas dapat berdikari lebih baik untuk semua.
Sebagai orang Islam, yang paling penting dalam usia warga emas ini seharusnya kita berbanyakkan amal ibadah, bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah SWT agar kita diberikan kebajikan bukan sahaja di dunia, lebih lagi di akhirat nanti. Kita tidak tahu, bila-bila masa kita akan dijemput oleh Pencipta kita. Wassalam semoga kita semua mendapat keredhaan Allah SWT dan diampunkan segala dosa. @16.08.2014
A good reading. Setuju persiapan utk hari tua.
ReplyDelete