Sunday, 31 August 2014

MALAYSIA - DI SINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.



Mok Dah rasa amat tersentuh sekali dengan tagline hari kemerdekaan ke 57 pada tahun ini, "Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta".

Tentunya berbagai kisah cinta telah berputih dan berkembang sejak Malaysia Merdeka 57 tahun yang lalu.

Selain kisah cinta teruna dan dara yang membawa hingga ke gerbang perkahwinan. Satu lagi kisah cinta yang telah tersemai dalam sanubari kita semua,  adalah cinta kita pada Malaysia,  tanah air dan tanah tumpah darah yang tidak ada galang gantinya.

Apabila kita mula mengenal dunia, kita mula belajar "cinta" , cinta pada ibubapa, adik beradik, nenek dan atuk serta saudara mara. Kemudian apabila meningkat dewasa kita belajar "cintakan" kawan-kawan dan begitu juga dengan cinta pada bangsa, agama dan negara.

Kemudian kita memasuki alam pekerjaan dimana kita mula mengenali "cinta" pada pekerjaan dan secara langsung pada syarikat atau agensi tempat kita mencari rezeki.

Dalam masa berada di alam pekerjaannya selama lebih 35 tahun dan telah berkhidmat dengan tiga syarikat yang berasingan, Mok Dah dapat rasakan betapa mendalamnya "cinta" pada pekerjaan dan juga syarikat. Tidak sesaatpun rasa "cinta" ini boleh di ganggu gugat dan kesetiaan tidak pernah berbelah bagi.

Tetapi, sayangnya pada hari ini Mok Dah dapat melihat secara jelas bahawa "cintakan" pekerjaan dan syarikat tempat mencari rezeki ini agak rapuh, tidak sekukuh dikalangan sebilangan pekerja. MokDah dapat rasakannya dan kerana itulah jika tiada "cinta", begitu mudah timbul syak wasangka dan tindak-tanduk yang tiada mencerminkan kesetiaan yang boleh merugikan syarikat.

Sebagai contaoh, pada masa kini rahsia syarikat yang menjadi "periok nasi" termasuk produk-produk yang masih lagi dalam pembikinan, dengan mudah  "di dedahkan" kepada orang ramai melalui lama sosial secara tadak bertanggungjawab.

MokDah sering tertanda-tanya, kenapa perkara sebegini boleh berlaku pada masa kini, apakah rasa "cinta" pada pekerjajan dan syarikat tempat bekerja semakin hakis dengan adanya media sosial.  

Tidakkah pelaku-pelaku ini merasa yang mereka telah mengkhianati tempat mereka mencari rezeki, umpama "mengigit tangan menyuap". Rezeki dari syarikat ini jugalah mereka memberi makan kepada anak dan isteri.  Bagaimanakh kita hendak beroleh keberkatan daripada rezeki ini?

Syarikat juga harus mencari jalan bagaimanakah dan apakah cara untuk diperkukuhkan rasa "cinta" pekerja kepada pekerjaan masing-masing dan begitu juga kepada syarikat. Para pekerja harus disuntik dengan semangat "kecintaan" dan kesetiaan yang tidak akan mudah diganggu gugat oleh "anasir" luar yang oportunis.

Mengimbas kembali kepada kemerdekaan yang ke 57 ini, kita semua tahu terdapat juga ada  generasi muda hari ini yang tidak tebal semangat patriotik dan "cintanya" pada Malaysia, tanah tumpah darahnya.

Kita dapat lihat adanya golongan yang pertimbangan, percaturan, pemikiran dan tindakannya tidak langsung menceminkan rasa cinta pada Malaysia. Kerana kemerdekaan inilah kita telah sampai pada satu tahap yang membanggakan pada masa sekarang. .

Kemederkaan yang kita rasa selama 57 tahun ini adalah hasil daripada titik peluh para pejuang kemerdekaan dan para pemimpin untuk membebaskan negara dari penjajah dan seterusnya yang bertungkus lumus berusaha untuk untuk mengisi erti kemerdekaan yang sebenar bagi keselesaan rakyat jelata.

Janganlah kita menjadi rakyat yang tidak tahu berterima kasih, "derhaka dan mengkhianati negara". Sebaliknya kita harus terus berusaha untuk meneruskan "perjuangan dalam mengisi erti kemerdekaan" demi untuk generasi akan datang pulak.

Kita sama-sama bertanggungjawab kepada anak-anak kita yang bakal mewarisi negara di masa depan. Kita harus terus berusaha menyediakan sebuah negara yang merdeka dan maju  serta berdaya saing seperti yang telah dilakukan oleh pemimpin masa lalu dan masa kini.

Dalam masa yang sama, semangat patriotik dan kecintaan pada negara itu harus dipupuk secara berterusan dikalangan anak-anak sejak mereka kecil lagi. @31 Ogos 2014

MokDah ingin meramkam sedidkit petikan dari lirik lagu Warisan yang mendalam maksudnya:

Disini lahirnya sebuah cinta
Yang murni abadi sejati
Disini tersemai cita-cita
Bercambah menjadi warisan

Aku 

Bukanlah seorang perwira
Gagah menjujung senjata
Namun hati rela berjuang
Walau dengan cara sendiri
Demi cinta ini

Ku ingin kotakan seribu janji

Sepanjang kedewasaan ini
Ku inigin sampaikan pesanan
Akulah peyambung warisan















.

Friday, 15 August 2014

SEGALA-GALANYA BERUBAH BILA DI MAMAH USIA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

TUA! tidak ada siapapun dapat elak dari menjadi tua apabila tiba masanya nanti.

Belum ada penemuan sains yang benar-benar dapat menahan seseorang dari menjadi tua. Mungkin ada kaedah yang ditemui untuk melambatkan proses menjadi tua, tetapi bukan menghentikan proses penuaan..

Inilah hakikat perjalanan hidup yang telah diatur oleh Allah SWT yang pasti datang, begitu juga dengan kematian. Tidak siapa dapat mengelak daripadanya. Awal kehidupan kita dilahirkan dan dari bayi kita membesar memasuki alam kanak-kanak, kemudian meningkat remaja dan seterus menjadi dewasa dan akhirnya menjadi tua.

Rata-rata masa kita muda, apakah kita pernah terfikir apa jadinya pada kita apabila kita dimamah usia nanti. Kebiasaannya sebelum tiba masanya. ramai yang lupa ataupun tidak terfikir apabila kita tua nanti segala-galanya berubah. Bukan sahaja dari bentuk fisikal malah paling penting ialah kesihatan dimana kita tidak lagi mempunyai kudrat atau kekuatan mental dan begitu juga dengan cara hidup. 

Kebiasaannya kita membuat persiapan untuk kehidupan masa depan untuk membina kerjaya, tidak kurang yang mengumpul harta benda. Apakah kita juga berusaha untuk membuat persiapan yang sebaik mungkin untuk menghadapi hari tua?

Inilah yang menjadi kesilapan ramai orang, bila tidak ada persiapan atau perancangan akhirnya ada yang terpaksa hidup melarat dan  tidak kurang pula ditempatkan dirumah orang tua-tua.

Sekiranya anak-anak didik untuk menjadi insan yang bertanggungjawab, In Sha Allah dia tidak akan merasa terbeban apabila terpaksa menjaga ibu bapa atau saudara mara yang telah tua. Kita harus sedar, seperti kita masa muda-muda dulu, mereka juga sibuk dan bergelut seharian dengan tanggungjawab untuk meneruskan kehidupan keluarga masing-masing. Kita tidak boleh terlalu bergantung pada anak-anak, kalau boleh berdikari itulah yang sebaiknya.

Persiapan menghadapi hari tua itu penting bagi orang tua-tua atau sekarang dipanggil warga emas. Diantara perkara yang harus diambil kira adalah:

1) Kesihatan - jauh dari sebarang penyakit dan juga dari segi fizikal,  supaya kita dapat menguruskan diri sendiri tanpa memerlukan bantuan orang lain.
2) Sumber kewangan berterusan untuk menyara kehiduapn seharian - sama ada dari simpanan ataupun tanaman modal, mahupun wang sara hidup yang disalaurkan oleh agensi kerajaan yang disediakan untuk warga emas yang tidak berkemampuan. Dengan itu tidaklah kita membebankan anak-anak, saudara mara atau orang lain.
3) Tempat tinggal yang selesa dan mudah untuk pergerakan, baik rumah sendiri, rumah anak-anak ataupun rumah orang penjagaan orang tua-tua yang berbayar ataupun yang diusahakan oleh agensi kerajaan dan NGO.
4) Kegiatan atau aktiviti harian yang sesuai baik untuk mental mahupun fizikal. Seperti orang lain, warga emas juga memerlukan rakan-rakan untuk berbual disamping aktiviti yang tidak membebankan.  Kerana itulah masjid dan surau sering dipenuhi oleh warga emas, selain beribadah inilah juga tempat dimana mereka dapat meluaskan kenalan dan memanjangkan silatulrahim. 

Cucu juga adalah merupakan penghibur dan "teman" berbual bagi seorang nenek dan datuk, selain daripada kawan-kawan sebaya untuk bersembang. Selain dairpada itu mereka yang berminat membaca buku, menulis ataupun membuat kerja-kerja yang tidak memerlukan banyak kudrat menurut kemahiran masing-masing merupakan satu kegiatan yang gemar dilakukan oleh warga emas. Melayari internet adalah merupakan satu kegiatan bagi ramai warga emas masa kini kerana disamping dapat mengekalkan minda supaya terus aktif mereka juga dapat meluaskan pengetahuan dengan berbagai bahan bacaan yang tiada sempadan.

Disamping itu,  bagi wanita-wanita termasuk yang telah bersara mereka suka bergiat aktif dalam berbagai kegiatan terutama yang berasaskan agama dan kebajikan. Dengan ini mereka bukan sahaja mendapat kenalan yang ramai, malah mendapat peluang ke berbagai majlis.

Sememangnya penting, apabila kita tua, kita mempunyai banyak masa lapang, tetapi ramai yang tidak tahu apakah yang harus mereka lakukan. Dengan duduk keseorangan tanpa sebarang kegiatan ini boleh memudaratkan kesihatan dan boleh menyebabkan seseorang menjadi murung dan kesihatannya akan merosot dari sehari kesehari.

Anak-anak yang menjaga ibubapa yang telah tua hendaklah jangan membiarkan mereka terlalu lama bersendirian. Rancanglah untuk membawa mereka bersiar-siar, menziarah saudara mara dan sekali sekala bawa keluar makan mahupun bercuti.

Sementara itu disarankan agar pemaju perumahan dan Jawatan Kuasa Penduduk dapat bertindak untuk mengadakan satu pusat riyadah disamping mengaturkan berbagai aktiviti berkumpulan. Kalau kita lihat kebiasaannya ramai warga emas ini duduk di taman-taman untuk berbual sesama sendiri disamping memerhatikan kanak-kanak mahupun cucu sendiri bermain petang-petang.

Banyak yang boleh dilakukan seperti:


1) Kuliah-kuliah agama pada waktu dan hari tertentu.
2) Senaman harian atau mingguan di padang permainan yang dipandu secara profesional sesuai dengan fizikal dan kesihatan warga emas.
3) Pemeriksaan kesihatan berjadual.
3) Kumpulan mengaji Al-Quran (ulang kaji) dan berzanji untuk berbagai majlis penduduk setempat seperti kenduri kahwin, kesyukuran, tahlil , akikah  dan sebagainya.
4) Aktiviti berjadual untuk menziarah penduduk yang sakit ataupun menghadapi malapetaka.
5)Aktiviti kebajikan yang tidak terlalu berat untuk disertai warga emas.

Segala aktiviti ini adalah untuk membantu warga emas untuk meneruskan kehidupan sebaik mungkin supaya tidak terlalu membebankan anak-anak dan orang lain. Lebih banyak warga emas dapat berdikari lebih baik untuk semua.

Sebagai orang Islam, yang paling penting dalam usia warga emas ini seharusnya kita berbanyakkan amal ibadah, bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah SWT agar kita diberikan kebajikan bukan sahaja di dunia, lebih lagi di akhirat nanti. Kita tidak tahu, bila-bila masa kita akan dijemput oleh Pencipta kita. Wassalam semoga kita semua mendapat keredhaan Allah SWT dan diampunkan segala dosa. @16.08.2014














Tuesday, 12 August 2014

BUDAYA MENGHORMATI PELANGGAN JADI KEBANGGAAN

Assalamualikum W.B.T. dan Salam Sejahtera,

1. Alahmdulillah, pada awal bulan Mac lalu, sekali lagi MokDah berkunjung ke negara Tokyo, Jepun, untuk bercuti. Apa yang mengagumkan MokDah rata-rata orang Jepun yang ditemui masih berpegang teguh dengan amalan sikap menghormati orang lain.
 

2. Walaupun gaya hidup di bandar metropolitan Tokyo ini boleh dikatakan serba moden, baik dari segi bangunannya yang tinggi mencakar langit, cara orang-orang mudanya  berpakaian yang ala barat, tetapi mereka masih tidak lupa pada amalan nenek moyang mereka yang sentiasa menghormati orang lain.

3. Kita selalu bangga dengan budaya amalan nenek moyang kita yang berpegang pada adap bersopan santun. Tetapi kalau kita amati cara hidup masyarakat kita hari ini sebenanrya kita sudah jauh berbeza. Budaya mengamalkan adap sopan ini semakin hari semakin lenyap dan pudar dari kehidupan kita masa kini.

4. Dari pemerhatian MokDah, walaun di Tokyo, rata-rata orang yang ditemui menunjukan sikap menghormati orang lain. MokDah merasa cukup senang melihat bagaimana mereka melayan dan bertolak ansur serta menghormati orang lain, termasuk para pelancong serta orang-orang tua dan kurang upaya yang sentiasa mendapat laluan dan perhatian utama dimasa sahaja. 

5. SungguhpunTokyo merupakan dua pertembungan budaya diantara budaya tradisi Jepun dengan arus permodenan, yang tidak mengganggu masyarakat Jepun, malah ia seakan serasi.




6. Sungguhpun rata-rata di bandaraya ini terutama orang-orang muda, pakaian mereka sudah lebih kepada ala barat, tetapi masih bertutur pekat dalam bahasa Jepun. Sekali sekala terserampak juga dengan wanita-wanita yang mengenakan pakaian tradisi kumono. Lazimnya mereka mengenakan pakaian tradisi ini untuk majlis atau acara tertentu.

7. Dari segi makan, walaupun terdapat banyak makanan barat, tetapi tidak boleh lawan food court, gerai atau restoran yang menghidangkan beraneka makanan tradisi Jepun, hampri setiap bangunan menetapkan 2 hingga 4 tingkat yang dipenuhi dengan gerai-gerai makanan tradisi Jepun yang harganya agak berpatututan. Yang paling banyak sekali gerai atau restoran menjual makanan Jepun terutama Sushi.
Sushi begeitu popular di Jepun, cara hidangannya
juga berseni

8. Yang paling MokDah kagum ialah tingkah laku para pekerja Jepun, tidak kira dimana mereka bekerja, sebagai jurujual di kedai-kedaim, petugas di station-station kereta, komplekes membeli belah, gerai dan kedai-kedai, tempat pelancongan seperti di Sky Tree, Tokyo Tower, dan Disneyland Tokyo, mereka sentiasa menunjukan tanda hormat pada para pelanggan/pengunjung serta kelihatan begitu gembira dan komited dengan tugas dan tanggungjawab yang digalas.

9. Dengan layanan sebegini, MokDah rasa amat selesa dan begitu mudah untuk melancung ke Jepun, walaupun tak tahu bertutur bahasa Jepun. Apa yang MokDah boleh sebut antaranyya  adalah "Vey arigatōgozaimashita" (Thank you very much); "Kon'nichiwam" (hello) dan "Sayōnara" (good bye).
Budaya hormat yang diamalkan oleh pekerja-pekerja
dalam sektor perkhidmatan

10. Bila berada di sana Mokdah berpegang pada pepatah Melayu, jangan malu bertanya supaya tidak sesak jalan. Yang anehnya, memang mereka tidak tahu bertutur bahasa Inggeris jauh lagi bahasa Melayu, tetapi mereka akan cuba membantu sama ada dengan menunjukan arah melalui peta, isyarat tangan ataupun mencari orang lain yang boleh berbahasa Inggeris ataupun lebih daripada itu mereka akan tunjukkan jalan atau membawa kita ke tempat itu sendiri.

11. Rata-rata petugas ini nampak bangga dengan apa juga pekerjaan yang mereka lakukan, mereka sentiasa senyum, tidak lekang dengan ucapan "
Kangei" (selamat datang) dan "arigatōgozaimashita" (terima kasih). 

12. MokDah dapat rasakan betapa rakyat Jepun adalah satu masyarakat yang kuat semangat patriotiknya, mereka bangga jadi rakyat Jepun dan mereka juga komited dengan apa juga tugas dan tanggungjawab yang dilaksanakan, sentiasa senyum dan gembira serta sedia membantu orang ramai termasuk para pelancung.

13. Kesimpulannya, MokDah berharap dalam kita mengejar arus kemajuan, kita rakyat Malaysia dapat terus mengamalkan budaya nenek moyang kita yang sentiasa berpegang pada adap sopan dan rasa hormat menghormati orang lain, banyak kebaikannya dan faedahnya yang akan kita perolehi. @16.04.2014


WANITA TOPIK HANGAT SEPANJANG ZAMAN


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatu.

Dari dulu hinggalah sekarang, Wanita masih merupakan topik utama yang sentiasa hangat diperkatakan dari zaman berzaman.

Itulah juga diantara sebab yang telah mendorong Kumpulan Akhbar Utusan Melayu menerbitkan majalah Wanita terulung dalam bahasa Melayu pada tahun 1969, yang kemudian "bertahta dihati" gender yang bergelar wanita.

Mokdah adalah diantara segelintir wartawan wanita yang bertugas di Utusan Melayu ketika itu, yang telah turut menyumbang rencana-rencana yang berkaitan dengan wanita, kehidupannya dan keluarganya. Pada tahun 1980 sehingga 1983 Mokdah telah diberi kepercayaan untuk menjadi Pengrang Majalah Wanita yang kedua selepas Puan Nik Rahimah Hassan.

Pada zaman 60 dan 70 an, kebanyakan topik yang menjadi pilihan adalah bertujuan untuk membuka minda kaum wanita, serta untuk menyuntik semangat dan menjadi sumber inspirasi wanita untuk terus maju. Sasaran utama majalah wanita merangkumi anak gadis remaja dan kaum wanita tidak kira yang solo, sudah berumahtangga termasuk yang berkerjaya.

Mesej yang cuba disampaikan kepada kaum wanita ketika itu, untuk maju wanita harus meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran disamping mendapatkan pendidikan hingga ke menara gading.  Soal hak wanita dan juga diskriminasi terhadap wanita dalam kerjaya dan  kenaikan pangkat serta dalam kepimpinan politik turut diperjuangkan melalui berbagai rencana yang dipaparkan. 

Penceritaan yang dipaparkan berkisar kepada kegigihan, pengorbanan, sumbangan, kejayaan, kerjaya, keusahawanan, usaha, ketabahan, kepimpinan, ketokohan dan keupayaan wanita yang boleh dijadikan idola, contoh tauladan dan panduan.

Kisah wanita dari kampung hinggalah ke bandar, dari sekolah pondok hingga ke menara gading, dari dapur ke gedung perniagaan, dari rumah ke berbagai kerjaya serta keusahawanan menjadi bahan tulisan untuk dikongsi bersama dengan pembaca.

Ketika itu, wanita-wanita yang menjadi hiasan kulit muka depan majalah Wanita, bukan semata-mata dipilih daripada mereka yang jelita dan peragawati tetapi lebih kepada wanita yang mempunyai ceritanya yang tersendiri dan dapat menarik minat pembaca untuk membacanya.

Diantara wanita yang pernah dipaparkan ceritanya termasuk turut menghiasi kulit muka depan majalah wanita adalah DYMM Raja Permaisuri Agung, Sultanah dan Raja Perempuan, isteri pemimpin negara seperti isteri Perdana Menteri, tokoh-tokoh dan pemimpin politik seperti Tan Sri Rafidah Aziz,  peguam, juruterbang, doktor, seniwati, usahawan, ahli sukan, dan ramai lagi.

Kisah-kisah menarik mengenai wanita yang dipaparkan tidak hanya tertumpu kepada wanita di bandar, malah kisah kejayaan wanita di luar bandar juga turut dipaparkan seperti kejayaan wanita-wanita di pantai timur dalam dunia perniagaan termsuk berniaga di pasar, mengusahakan batik, songket dan ikan keringnya.

Selain rencana-rencana yang berkisar kepada wanita dan aktivitinya,  turut disediakan berbagai halaman yang menjadi minat semula jadi wanita seperti fesyen, masakan, hiasan rumah dan kesihatan.

Majalah Wanita telah melalui berbagai perubahan  menurut aliran perkembangan dunia baik dari segi rekabentuknya mahupun isi kadungannya bagi memenui citarasa para pembacanya yang menjadi lebih sofistikated. Pada awal tahun 70an terutamanya bahan bacaan dalam bahasa Melayu yang khusus untuk wanita tidak banyak dan kerana itu ia mudah dapat mendampingi wanita-wanita Melayu khasnya. Kini majalah Wanita mempunyai banyak pesaing dan pembaca mempunyai banyak pilihan apabila disajikan dengan  berbagai penerbitan termasuk juga melalui internet yang terkenal dengan "e-book".

Dalam masa 45 tahun ini juga Wanita telah diterajui oleh seramai 9 orang pengarang bermula dengan Nik Rahimah Hassan, Mokdah, Rosminah Ahmad,  Maimunah Yusuf, Wirda Adnan, Normala Hamzah, Noor Hazani Musa, Mahani Awang, Norimy Aimi dan kembali semula kepada Normala Hamzah. @12.08.2014