Tuesday, 18 December 2018

ZAM DALAM KENANGAN - Catatan Sepanjang Persahabatan


Assalamuaalaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tanggal 14.12.2018, Zainuddin Maidin atau lebih dikenali dengan panggilan ZAM, telah kembali menemui penciptanya. 

Allahyarham ZAM tidak perlu diperkenalkan lagi kerana beliau merupakan icon kewartawanan Melayu dan kemudian apabila bersara menjadi blogger (http://zamkata.blogspot.com)  terkenal di Malaysia dengan tulisannya yang tajam,

Pemergiannya meninggalkan berbagai kenangan bagi ramai orang, khasnya rakan-rakan bekas wartawan yang pernah bekerja dengannya di bawah satu bumbung di Utusan Melayu,  termasuklah MokDah yang mula mengenalinya ketika melangkah kaki ke dunia kewartawanan pada tahun 1968.  

Beliau adalah di antara senior (yang lain termasuk Pak Samad Ismail, Pak Harun Hassan, Pak Osman Abadi dan Jiro atau Salim) yang telah mendidik dan membimbing MokDah dari seorang pemberita muda yang tidak tahu menahu tentang kewartawanan hinggalah meningkat menjadi pemberita kanan, penyunting, penolong pengarang (Mingguan Malaysia) dan pengarang (Pengarang Majalah Wanita).


Ku iringi doa semoga Allah swt mencucuri roh
ZAM dan ditempatkan dikalangan orang solihin

Lebih terasa kehilangannya adalah teman-teman dan rakan-rakan dalam kumpulan whatsapp Buletin Suara Keramat (BSK) yang sering berhubung antara satu sama lain  hampir setiap hari, bertukar pengalaman dan cerita, menyingkap kisah yang lalu, berkongsi kisah suka duka, sakit pening dan berbagai aktiviti serta perkembangan semasa masing-masing.

BSK telah diilhamkan oleh Tan Sri Johan Jaafar (TSJJ) dengan sokongan penuh dari ZAM yang turut menjadi ahli yang aktif. Ahli BSK esklusif untuk bekas warga Jabatan Pengarang terdiri daripada pengarang, pemberita/wartawan,  penyunting, jurugambar dan lain-lain kakitangan sokongan yang telah pencen dan mereka yang tidak lagi berkhidmat dengan Utusan Melayu. Agak lama juga kami bekas warga Jabatan Pengarang terpisah tetapi kembali bertaut setelah TSJJ "menjemput" kami semua untuk menyertai BSK. 


Sebahagian daripada warga BSK dan 
bekas kakitangan Jabatan Pengarang
 yang hadir di upacara pengkebumian

Suara Keramat merupakan ungkapan daripada ZAM yang merupakan penulis lirik lagu Utusan Suara Keramat yang dihasilkannya bersama komposer terkenal Ahmad Nawab (komposer melodinya)  bersempena ulangtahun Utusan Melayu yang ke 50 tahun. Walaupun ZAM sudah pergi tetapi lagu Utusan Suara Keramat terus berkumandang sebagai pembakar semangat kepada semua warga Utusan Melayu sehingga hari ini.

Banyak yang telah ditulis  oleh sahabat dan kenalannya termasuk para wartawan yang menjadi anak didiknya. MokDah adalah salah seorang bekas wartawan yang telah mendapat didikkan  Allahyarham ZAM. Beliaulah yang bertanggungjawab mencorakkan kerjaya ramai wartawan di Utusan Melayu berdasarkan kepada kecintaan dan komitmennya yang mendalam dalam kerjaya kewartawanan.

Anda boleh baca tulisan-tulisan ini, diantaranya yang disiarkan di the STAR: Zam, the King and I oleh Rozaid Abdul Rahman (16 Dec 2018); Zam - an unrepentant crusader oleh Tan Sri Johan Jaafar (17 dec 2018) ; Zam was one formidable journalist oleh Hussain Abu Bakar (18.12.2018) dan tulisan Datuk Ahmad Talib, bekas Ketua Pengarang Kumpulan NST bertajuk FAREWELL ZAINUDDIN MAIDIN, THE ORIGINAL AWANG SELAMAT di NST pada 16.12.18.


Kini BSK telah kehilangan seorang lagi kawan mengikuti rakan-rakan yang telah pergi terdahulu,  diantaranya Allahyarham Raja Ahmad Niza, Munir Ghazali, Ahmad Idris, Bahaya Mahmood, Omar Manan, Wahi dan beberapa orang lagi yang MokDah tak ingat namanya.
ZAM (tengah) dari seorang boss menjadi kawan
setelah bersara bersama kawan-kawan BSK

ZAM merupakan satu nama besar bukan sahaja dikalangan orang Utusan Melayu dan dunia kewartaanan Melayu khususnya, malah dikalangan ahli politik dan juga media sosial. Beliau memang dikenali lantang menyuarakan pendapatnya dan tajam tulisannya sejak dari zaman dia menulis pojok atas nama Awang Selamat hinggalah kepada blog zamkata.

Kali pertama saya mengenal ZAM wataknya nampak garang, tegas dan "no nonsense man". Beliau tidak akan kompromi dalam usaha untuk mendapatkan berita, setiap pemberitanya mesti berusaha dan sentiasa "alert" untuk mencium bau berita. Selain daripada itu setiap pemberita mesti "knowledgable" tentang isu semasa termasuklah dari perihal ekonomi dan politik negara.

Setiap pagi sebaik duduk di mejanya yang berhadapan dengan deretan pemberita beliau akan bertanya apa tajuk berita akhbar-akhbar lain pada hari itu dan apa pula berita yang kami akan "pursue" untuk hari itu. Sebelum keluar membuat assignment, beliau mahu setiap pemberita/wartawan membuat "research" dulu untuk mendapatkan maklumat latarbelakang dan butiran supaya kita lebih faham tentang sesuatu isu yang akan diperkatakan.   Pemberita/Wartawan juga digalakkan berbincang mengenai soalan-soalan penting  dan makumat yang harus di cari jawapan dan akhir sekali mesti bawa balik berita, Tidak ada istilah tidak ada "story", kita dididik supaya bijak "mencium" berita, yang mungkin wartawan lain tidak dapat. 

Sebahagian daripada anak-anak didik ZAM 
Memang diluarannya ZAM kelihatan  berpewatakan garang, tegas dan "no nonsense man". Mereka yang rapat dengannya tahu, diluar lingkungan tekanan bilik berita, sebenarnya ZAM adalah seorang yang boleh menjadi kawan baik. Beliau juga seorang yang "caring" dan penyayang.  Sebenarnya dalam hati ada taman, cintanya kepada isterinya Kak Ton begitu mendalam dan sayangnya kepada anak-anak dan cucu-cucunya bukan kepalang. Bagi sahabat yang akrab denganya tahu beliau adalah sahabat yang setia dan akan turut bersama atas nama kawan bila-bila ada kesempatan baik masa susah  mahupun senang.

MokDah menceburkan diri dalam dunia kewartawanan dalam usia remaja dan banyak cabaran yang harus dilalui. ZAM adalah diantara orang yang banyak membantu, membimbing dan memberi nasihat baik dalam membina kerjaya kewartawanan dan juga dalam menghadapi cabaran kehidupan di luar. Banyak nasihat yang diberikan kepada MokDah supaya bijak menjaga diri kerana dunia kewartawanan ni banyak cabarannya kerana kami bertemu dan berinteraksi dengan ramai orang yang berbagai pangkat, darjat dan ragam.

Semasa MokDah bersantai di Zam Cafe yang
dihiasi  dengan gambar-gambar kenangan
di Jabatan Pengarang
Beliau banyak memberi peluang kepada wartawan wanita untuk sama-sama membuktikan kebolehan dan keupayaan untuk menjadi wartawan yang baik dalam berbagai bidang, termasuk ekonomi, politik, sukan, berita mahkamah dan jenayah,  tidaklah hanya berita hal ehwal wanita dan keluarga sahaja. 

Di luar bilik berita, ZAM dan isterinya Kak Ton  (Datin Zaiton Zainal Abidin) bagaikan keluarga bagi MokDah.  Ketika itu Zam dan keluarga tinggal di rumah sewa di Kampung Bharu, kampung halaman MokDah. MokDah juga sering  tumpang kereta ZAM terutama untuk balik dari pejabat bila dia balik cepat.

Hubungan kerja MokDah dengan Zam tidak hanya terhad kepada bidang kewartawanan malah menjangkau di luar Jabatan Pengarang. Semasa MokDah memegang jawatan Pegawai Perhubungan Awam Utusan Melayu kami banyak bekerjasama dalam berbagai projek dan event yang melibatkan Utusan Melayu.

Diantaranya MokDah menjadi setiausaha sambutan Ulangtahun Utusan Ke 50 dengan ZAM selaku Pengerusinya, Diantara yang dipertanggungjawabkan kepada Jawatankuasa adalah penerbitan buku Ulangtahun Utusan Ke 50 yang hingga kini menjadi rujukan.

Satu projek besar yang telah di jayakan dibawah kepimpinan ZAM adalah Kejohanan Sepaktakraw MAS-UTUSAN yang dianjurkan  julung-julung kali pada tahun 1985. Kejohanan yang bertaraf antarabangsa itu dianjurkan bersama dengan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS), Persatuan Sepaktakraw Malaysia dan Perbadanan Stadium Negara selama 3 tahun berturut-turut.  ZAM dan Encik Jaafar Manaf dari MAS menjadi Pengerusi Bersama Kejohanan manakala Mokdah menjadi Setiausahanya.

Persahabatan MokDah dengan ZAM terputus sementara apabila kami mencari jalan sendiri. 

Pada awal tahun 1990an MokDah memasuki dunia Korporat. Tidak lama selepas itu ZAM pula meninggalkan Utusan dan kemudian dilantik menjadi Timbalan Menteri Penerangan dan seterusnya sebagai Menteri Penerangan. 

Kemudian persahabatan kami disambung semula apabila ZAM menghubungi MokDah untuk mendapatkan beberapa maklumat untuk pengisian buku yang sedang ditulis.

Apabila kami bersara, kami sekali lagi menyambung silatulrahim yang telah terputus dalam satu kumpulan whatsapp BSK yang wujudkan pada awal tahun 2016 oleh Tan Sri Johan Jaafar  yang juga pernah menjadi Ketua Pengarang Utusan Melayu yang mengambil alih jawatan tersebut daripada ZAM.


Dari kanan, Raja Amad Niza, Tan Sri Johan Jaafar,
Tan Sri Khalid Yunus dan Tan Sri Zainuddin Maidin
 di pertemuan pertama BSK pada 20 Februari 2016
bertempat di Zam Newsroom Cafe
Sejak BSK bernafas, silatulrahim kami menjadi segar dan semakin ramai pula sahabat-sahabat lama yang pernah bertugas bersama di Jabatan Pengarang Utusan Melayu turut serta dalam kumpulan whatsapp ini. Sudah  hampir 3 tahun kami (seramai lebih 100 orang ahli)  merisik khabar dan berinteraksi melalaui whatsapp BSK serta berkongsi suka duka serta ziarah menziarah yang sakit dan tidak lupa meraikan hari lahir, menghadiri majlis kenduri atau perkahwinan anak-anak dan juga 'beriyadah" bersama ikut kelapangan serta keselesaan masing-masing.

Selepas bersara, ZAM telah membuka sebuah cafe yang diberi nama Zam Newsroom Cafe bertempata di Putrajaya. "Ambiance" cafe jelas mengambarkan kecintaannya terhadap dunia kewartawanan yang dihiasi dengan gambar suasana meja wartawan di Utusan Melayu suatu masa dulu, mesin taip yang merupaka peralatan wartawan yang utama untuk menggarap berita, hiasan meja berupa gambar keratan akhbar dan bilik pengurus di tulis Ketua Pengarang pada pintunya.

Disini jugalah ramai rakan wartawan dan kenalan-kenalan politiknya datang untuk bertemu dan minum-minum.  Selain daripada itu, kumpulan whatsapp BSK lah menjadi laman kami bersantai.

Beberapa hari sebelum beliau jatuh pengsan, ZAM ada menulis di whatsapp BSK menyatakan hatinya terasa sunyi dan sayu. Secara sepontan berbagai reaksi dipostkan oleh kawan-kawan yang sama-sama "merasakan" kesunyiannya. 

Kemudian pada 13 November  kami dimaklumkan melalui BSK yang ZAM pengsan di rumah dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Putrajaya akibat masaalah paru-paru.

Setelah melalui rawatan rapi di ICU Hospital Putrajaya dan kemudian dipindahkan ke ICU Hospital Serdang,  pada 14 Disember 2018 kami mendapat berita sedih ZAM telah menghembuskan nafasnya yang terakhir untuk menemui penciptnya.

Inalillahi wainna illaihi rojiun, sesungguhnya kita semua adalah milik Allah dan kita semua akan kembali kepada Allah, Tabah dan tetap beriman adalah yang lebih baik.

ends.


No comments:

Post a Comment