Wednesday, 1 April 2015

#menuMokdah: SALAD Vs ULAM, KERABU, PECAL DAN ROJAK

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Dalam zaman moden ni, generasi muda begitu taksub mengamalkan cara hidup sehat. Selain dari melakukan berbagai senaman, mereka juga amat prihatin tentang apa yang dimakan.

Kerana terlalu terpengaruh dengan nasihat pakar-pakar kesihatan yang begitu ramai di dalam internet, ramai isteri-isteri dari pasangan muda hari ini lebih gemar menyediakan makanan ala barat daripada makanan tradisi seperti makanan melayu, China dan India.

Mungkin juga kerana ramai yang jadi pakar penasihat kesihatan di internet tu rata-rata terdiri daripada orang barat dan apa yang mereka tahu ialah makanan kebiasaan mereka. Kesian pula MokDah tengok suami-suami dan juga anak-anak yang disogokan dengan pelbagai makanan ala barat.

Disamping itu, mungkin juga makanan ala barat ini lebih mudah dan ringkas, tidak macam penyediaan masakan tradisi Melayu atau India, banyak ramuan perlu disediakan dan perlu pula melalui berbagai proses disamping disulam dengan ilmu memasak yang betul, sebelum sesuatu lauk pauk itu dapat disajikan.

MokDah terkenang pada salad yang menjadi sajian popular dalam pemakanan barat. Sebenarnya dalam masakan Melayu, kita juga punya berbagai jenis sayuran yang dijadikan ulam-ulaman dan juga kerabu yang tidak kurang hebat khasiatnya. Selain daripada itu kita juga mempunyai rojak yang diperbuat daripada aneka buah-buahan.

Ulam-Ulaman

Apakah yang orang Melayu makan sebagai ulam? Selain daripada sayuran seperti timun dan kacang panjang terdapat berbagai pucuk daun seperti pucuk daun kaduk, salam, tenggek burung, daun gajus, ulam raja , pengaga, daun pucuk ubu dll. 

Pucuk daun-daun ini biasanya di makan begitu sahaja atau di celur dan dimakan dengan sambal, ataupun ada yang dicampur untuk membuat nasi ulam atau nasi kerabu.

Lain-lain ulam yang popular termasuklah jering, petai, kerdas, kacang boto dan sebagainya.

Kerabu


Bercakap mengenai kerabu, rasanyalah kerabu kalau dibuat dengan betul lagi sedap dari salad, yang boleh diratah begitu sahaja ataupun di makan dengan nasi.

Terdapat berbagai jenis kerabu yang boleh kita sajikan untuk menggantikan salad.  

Diantara yang popular kerabu dari aneka pucuk daun, pucuk paku, mangga, betik, jantung pisang, taugeh, kacang boto dll.

Untuk membuat kerabu, pucuk-pucuk daun dan buah-buah ini perlu diracik atau dihiris mahupun direbus dahulu jika perlu. Sayur ini perlu di campur dengan berbagai bahan, antara lain sambal ala-ala sambal belacan, ikan bilis atau udang kering tumbuk, bawang besar, kerisek, santan, garam, gula dan air asam atau limau.


Pecal

Selain dairpada ulam ulaman dan kerabu, kita juga boleh menyediakan pecal untuk digantikan dengan salad.


Ramuannya terdiri daripada sayuran-sayuran seperti timun dan bahan yang perlu di celur seperti taugeh, kangkung, kacang panjang, pucuk ubi serta  telur rebus, tauhu dan tempe goreng.

Pecal dimakan dengan kuah kacang. Ramuan kuah kacang:

kacang tanah (goreng tanpa minyak dan tumbuk)
dan goreng dengan minyak sikit cili kering, cili merah, bawang putih, belacan dan halia

Tumbuk kesemua bahan tadi kasar sikit gan masukan air asam jawa yang pekat, gula merah , garam dan sedikit air. Kacau atas dapur kesemua ramuan ini hingga pekat.


Rojak


Terdapat banyak buah-buah tempatan yang boleh kita jadikan bahan utama untuk rojak buah.

Diantara buah-buah yang popular dijadikan
rojak adalah jambu, betik, mangga, nenas, timun, sengkuang, belimbing besi dan kedondong.

Selain daripada itu boleh juga dicampur dengan apple.

Buah-buahan tersebut hanya perlu dipotong dan dimakan dengan kuah rojak, sama ada yang dibeli yang sudah siap ataupun dibuat sendiri.

Ramuannya terdiri dairpada kicap lemak masin, gula melaka, belacan bakar, sos cili, cili kering (kesemua di kisar) dan dibancuh dengan sedikit air serta tepung ubi untuk pekatkan kuah. Kemudian jerang atas dapur dan kacau hingga pekat. Kemudian semasa hendak makan campur dengan kacang yang ditumbuk kasar serta ditabur dengan bijan.

Sebenarnya terpulanglah kepada selera masing-masing, sama ada nak terus makan salad hari-hari, ataupun nak di selang seli dengan ulam ulaman, kerabut, pecal dan rojak. @02.04.2015







No comments:

Post a Comment